2019 TAHUN TERCOROT BAGI PRESTASI SUKAN DI MALAYSIA

Sukan Malaysia pamer prestasi terburuk sepanjang 2019


Tahun 2019 menyaksikan arena sukan tanah air melakar pelbagai cerita suka duka tersendiri atlet negara.

Secara keseluruhannya, prestasi sukan Malaysia pada 2019 ada pasang surut, dan lebih pahit apabila kontinjen negara gagal mencapai sasaran 70 pingat emas pada Sukan SEA ke-30 di Filipina.


Paling memalukan kekalahan mengejut 1-3 skuad bola sepak Bawah 22 (B-22) negara kepada pasukan kerdil, Kemboja pada aksi pusingan awal dan ia detik hitam dalam sejarah bola sepak negara memandangkan negara berkenaan tidak mempunyai fasiliti bola sepak yang lebih baik berbanding Malaysia.

Kempen Sukan SEA 2019 menyaksikan hanya 18 daripada 26 jenis sukan yang disasarkan untuk memenangi emas, berjaya menyumbang kutipan 50 emas, sekali gus menggambarkan beberapa sukan teras gagal mencatat pencapaian sebagaimana yang diharapkan.

Prestasi atlet seperti pemanah Olimpik negara, Khairul Anuar Mohamad; atlet pelayaran Khairul Nizam Affendi; dan perenang elit, Welson Sim, gagal mempamerkan prestasi membanggakan di kala kontinjen negara mengharapkan mereka untuk menghadirkan kilauan emas pada temasya sukan berkenaan kali ini.

Namun, di sebalik kegagalan kontinjen negara mencapai sasaran ditetapkan, beberapa atlet yang sebelum ini tidak disenaraikan antara berpotensi menyumbang pingat emas kepada kontinjen Malaysia, berjaya membuat ‘kejutan’ pada temasya di Filipina itu.

Bermula dengan gimnastik artistik dan berirama yang menampilkan aksi cemerlang apabila menyumbang sembilan pingat emas, diikuti olahraga (lima emas), serta masing-masing empat emas dalam acara terjun, karate dan boling padang, selain badminton yang meraih tiga emas.

Pujian wajar diberikan kepada sukan kurang dikenali yang menyelamatkan maruah kontinjen Malaysia apabila menyumbang sekurang-kurangnya satu emas iaitu papan selaju, catur, dancesport, snuker dan billiard, selain wushu yang menyumbang dua emas walaupun tidak diletakkan sasaran kutipan emas.

Dalam pada itu, beberapa atlet negara berjaya mencipta kejutan, selain terus mengekalkan prestasi cemerlang mereka di rantau Asia Tenggara, termasuk pelari pecut muda, Muhammad Haiqal Hanafi 

yang mengekalkan status Malaysia sebagai Raja Pecut Asia Tenggara selepas mengungguli acara 100 meter dengan catatan 10.35 saat, selain ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi 

yang mengaut tiga emas.

Atlet olahraga, Andre Anura Anuar

 turut mempamerkan aksi luar biasa selepas melakar rekod baharu kebangsaan dalam acara lompat jauh, iaitu 8.02m, memadamkan rekod terdahulu 7.88m yang dilakukan Josbert Tinus pada Kejohanan Olahraga Terbuka Thailand 2007.

#IRMA(1110)

SUMBER:https://www.buletinasia.com/sukan-malaysia-pamer-prestasi-terburuk-sepanjang-2019/

Comments

Popular posts from this blog

CABARAN DALAM BIDANG SUKAN DI MALAYSIA

IBU BAPA BERPERANAN MEMUPUK MINAT BERSUKAN DALAM DIRI ANAK-ANAK

USAHA MEMBANGUNKAN BIDANG SUKAN NEGARA